STESEN ECRL BAKAL DIBINA BERHAMPIRAN NILAI 3

Jumaat, 20 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh & Nurul Haryani Hasrol

1/2

SEREMBAN: Lokasi stesen bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Sembilan membabitkan kawasan Nilai, bakal dibina berhampiran Nilai 3.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menerusi taklimat kepada Kerajaan Negeri Sembilan.

"Mereka pada dasarnya dah buat satu jajaran, daripada sempadan kita (Negeri Sembilan) di Pahang iaitu Mentakab ke Kuala Klawang dan seterusnya ke Nilai. Ini satu berita baik untuk kita.

"Mereka akan mendirikan sebuah stesen lagi di Nilai, di samping pembinaan (stesen) di Kuala Klawang. Nilai berhampiran (kawasan) Nilai 3, insya-Allah.

"Kalau di Nilai, kita (Negeri Sembilan) akan ada stesen untuk kargo dan penumpang. Mereka ada (kemukakan) permohonan untuk buat (perkhidmatan) kargo juga.

"Dari situ (Nilai), akan sambung ke Putrajaya. Seterusnya dari Putrajaya sambung ke Pelabuhan Klang," katanya.

Sehubungan itu kata Aminuddin, pihak Kerajaan Negeri akan membantu MRL untuk kerja tanah dan kerja yang melibatkan pembangunan ECRL di kawasan tersebut.

"Ada tanah rizab; tanah kerajaan; tanah swasta dan tanah individu. (Durasi) pembinaan ini dalam tempoh tujuh tahun dan ECRL boleh digunakan pada 1 Januari 2027.

"Kerja-kerja (pembinaan) di Negeri Sembilan akan bermula pada suku ketiga tahun 2020. Ini juga akan melibatkan pembinaan terowong yang panjang di sepanjang (jajaran) Kuala Klawang ke Nilai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, kelmarin.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik serta beberapa Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Tuan Teo Kok Seong; YB Tuan J Arul Kumar; YB Puan Nicole Tan Lee Koon dan YB Tuan S Veerapan.