MEWUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN UNTUK RAKYAT TERAS UTAMA PEMBANGUNAN MVV

Khamis       20 September 2018       

20 sep 2-1.jpg

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan memberikan tumpuan kepada pembangunan yang boleh memberi impak dari segi ekonomi dan sosial penduduk, dalam pelaksanaan projek pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

Menteri Besar Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, kaedah pelaksanaaannya tidak lagi terikat dengan rancangan asal, sebaliknya tertakluk kepada perubahan semasa dengan menjurus kepada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk negeri itu.

"Kita (Kerajaan Pakatan Harapan) telah mengkaji hala tuju MVV dengan mengambil kira dasar dan keutamaan keadaan semasa.

"Ini termasuklah menilai komponen pembangunan dalam perancangan MVV yang dipacu sepenuhnya oleh pihak

swasta khususnya Sime Darby Property, yang menjadi pemaju utama.


"Bagi memastikan pembangunan ini dilaksanakan dengan teratur, kita akan mengurangkan tumpuan terhadap pembinaan rumah sebaliknya memberikan keutamaan kepada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri, semalam.

Projek MVV meliputi kawasan segitiga pembangunan di Nilai, Seremban dan Port Dickson, bertujuan mewujudkan kawasan pembangunan baharu dengan lebih terancang di Negeri Sembilan.

Projek MVV dirancang bermula 2016 sehingga 2045 akan membabitkan kawasan seluas kira-kira 108,000 hektar, bagi melengkapkan pembangunan sedia ada di Lembah Klang, terutama Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Pembangunan MVV dibuat berpandukan lima kluster utama iaitu Lembah Pendidikan-Teknologi, Pelancongan dan Kesihatan, Perbandaran Baharu, Daerah Perniagaan Pusat dan Bandar Alam Semula Jadi.

Aminuddin berkata, bagi memastikan pelaksanaan MVV menepati keperluan pembangunan negeri ini, beliau akan bertindak sebagai pengerusi di peringkat Jawatankuasa Pelaksanaan, Koordinasi dan Halatuju MVV.

Beliau juga berkata, projek berkenaan tiada implikasi kewangan secara langsung kepada kerajaan negeri kerana dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta namun kedua-dua pihak akan sentiasa bekerjasama untuk melengkapkan pembangunan MVV.

"Kita (kerajaan negeri) juga akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan infrastruktur bagi menyokong pelaksanaan projek pembangunan MVV," katanya.

Menteri Besar juga menjelaskan, sebanyak empat projek jaringan jalan raya yang merupakan infrastruktur utama MVV telah diluluskan Kerajaan Persekutuan iaitu, membina jalan baru dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek, menaiktaraf jalan dari Sepang (KLIA)-Teluk Kemang, membina jalan susur Tol Baru Seremban ke Jalan Lingkaran Tengah Seremban, Jalan Seremban-Labu dan membina jalan penghubung ke kawasan pembangunan baharu selepas `interchange' Temiang ke FT86 Jalan Pantai.

"Buat masa ini, pembinaan jalan baru dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek sedang dalam peringkat pembinaan dan dijangkakan siap pada tahun 2021.

"Manakala yang lainnya dalam peringkat kajian, kerja awalan dan rekabentuk," katanya.