TEMU AJAL ATAS POKOK BIDARA

Khamis, 20 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan Kosmo Online

1/1

REMBAU: Seorang warga emas dilaporkan meninggal dunia atas sebatang pokok bidara berketinggian 30 meter di Kampung Kundur Hilir, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.00 petang itu, difahamkan Awaludin Kaman, 68, sedang menebang pokok di rumah penduduk kampung tersebut sebelum terkulai secara tiba-tiba pada dahan pokok.

Rakan sekerja mangsa, Uwish Kurni Mohd Mahfuz, 27, berkata, ketika kejadian dia berada di bawah manakala mangsa yang dipanggil Cik Wai sedang berada atas pokok.

“Kalau diikutkan, dah lama kami tak tebang pokok sama-sama. Tapi pagi semalam (kelmarin), Cik Wai beria-ria ajak saya temankan dia tebang pokok dan ni pokok bidara ketiga dipotongnya hari ni (semalam).

“Bila saya tengok Cik Wai tiba-tiba senyap dan terkulai di celah dahan pokok, saya cepat-cepat panjat pokok tu dan ikat dia.

"Sebab saya bimbang, Cik Wai akan terjatuh," ujarnya yang bergegas menghubungi pihak bomba bagi memaklumkan insiden berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan dan tiba jam 3.29 petang.

"Pasukan bomba ambil masa kira-kira dua jam untuk bawa mangsa turun menggunakan tali penyelamat.

“Sebaik berjaya diturunkan, pasukan paramedik segera membuat pemeriksaan dan mangsa disahkan telah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.