PERSIAPAN KONTINJEN SUKAN SEA 2019 DALAM FASA AKHIR

Selasa, 20 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/2

SEREMBAN: Persiapan kontinjen negara kini berada di fasa terakhir bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2019 di Filipina pada November depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato' Ahmad Shapawi Ismail berkata, Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengadakan mesyuarat bagi mengenal pasti 800 atlet terbabit.

"Tarikh akhir bagi senarai akhir atlet mengikut nama (adalah) pada 2 September ini, untuk persatuan memuktamadkan atlet mana yang layak didaftarkan dalam acara masing-masing.

"Selepas itu, pihak MOM akan hantar pendaftaran (senarai nama atlet) kepada jawatankuasa penganjur Sukan SEA dan itu adalah final (muktamad) dari segi komposisi kontinjen," katanya.

Mengulas lanjut, Shapawi berkata, dari segi persiapan kontinjen bagi peringkat MSN berjalan lancar dan satu latihan pusat akhir akan diadakan untuk mengumpul kesemua 800 atlet sebelum berlepas ke temasya itu. 

"Sekarang ini lebih banyak (tumpu) kepada pertandingan sebagai percubaan (latihan) untuk temasya itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NS Daily pada Majlis Penyampaian Hadiah Perlumbaan Berbasikal 'CIMB FOUNDATION CRITERIUM SERIES 5-2019' di Bandar Sri Sendayan, di sini, tempoh hari.

Ditanya mengenai sasaran pingat pula, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan pada majlis penyerahan bendera kelak.

"kita akan umum target (sasaran) selepas kita kemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk muktamadkan dari segi status semasa prestasi atlet dan sasaran yang mungkin mereka boleh capai di Sukan SEA nanti," katanya.