PORT DICKSON DISASAR SEBAGAI PENGELUAR UTAMA KELAPA

Selasa, 20 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat

Juruvideo: Nurul Haryani Hasrol & Muhamad Syawal Saleh

1/3

PORT DICKSON: Port Dickson disasarkan sebagai daerah pengeluar terbesar kelapa di negeri ini, dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah itu bakal direalisasikan melalui reformasi pertanian yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

"Kita hari ini tertumpu pada tanaman kelapa yang akan dibuat di Kampung Pachitan; Kampung Sawah; Kampung Chuah dan Kampung Bukit Pelandok.

"Kampung ini satu ketika dulu pengeluar kelapa terbesar untuk daerah Port Dickson, sebelum bertukar kepada kelapa sawit," katanya.

Menurutnya, pihaknya melihat ada potensi untuk mengembalikan semula tanaman kelapa di kesemua kampung terbabit berdasarkan keadaan tanah dan muka bumi di situ.

Tambahnya, kehadiran pelancong juga menjadi salah satu faktor yang bakal memudahkan lagi produk tani berkenaan dipasarkan.

"Beberapa bulan lepas (juga), dah diadakan program di Bagan Pinang. Sebanyak 2,000 (anak) pokok (kelapa) diedarkan.

"Hari ini, sebanyak 2,000 (anak) pokok (kelapa) diserahkan kepada penduduk kampung untuk ditanam di sekeliling rumah mereka terlebih dulu.
 

"Kita harap usaha ini akan mendatangkan kesan positif untuk meningkatkan hasil pendapatan penduduk," katanya.

Pada masa sama, kata Aminuddin, ada juga lokasi yang mengusahakan kelapa untuk dibuat santan misalnya di Kampung India, Bukit Pelandok.

"Kita akan kembangkan (penanaman kelapa di tempat lain), ini sebagai permulaan," katanya selepas menghadiri Program Hari Ladang Peringkat Daerah Port Dickson di Dataran Kampung Pachitan, di sini, tempoh hari.

Turut hadir adalah Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Bakri Sawir serta Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Encik Hisyam Yacob.