PROGRAM MASNA FASA PERTAMA DILANCARKAN

Isnin, 20 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Video: Mohd Zamzuri Daud
Foto: Nabilsyafiq MH

1/5

NILAI : Sebanyak 10 masjid di tiga daerah di negeri ini telah dipilih untuk mengikuti program Masjid Naungan (MASNA), yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, program fasa pertama itu melibatkan lima masjid dalam daerah Seremban selaku penaung, manakala dua masjid di Jempol dan tiga di Kuala Pilah sebagai masjid yang dinaungi.

Menurutnya, Masjid Dato' Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong, Nilai menaungi Masjid Kampung Serampang Indah, Jempol; Masjid Kariah Paroi Jaya menaungi Masjid Kampung Bayai Lama, Jempol dan Masjid Hussain, Seremban 2 menaungi Masjid Kariah Kampung Temeris, Kuala Pilah.

"Masjid Dato' Penghulu Menteri, Kuarters KLIA pula menaungi Masjid Nur Salbiah, Selaru, Kuala Pilah manakala Masjid Kariah Bandar Baru Senawang menaungi Masjid Kariah Gunung Pasir, Kuala Pilah," katanya.

Kata Aminuddin, inisiatif berkenaan membuka ruang kepada pihak yang menaungi dan dinaungi untuk menjalinkan kolaborasi pintar dalam pelbagai aspek bagi mengoptimumkan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah.

"Ini merupakan satu permulaan yang baik. Bukan hanya isu kewangan yang kita fikirkan, tapi juga (melibatkan) isu bagaimana untuk kita bangunkan masjid-masjid secara bersama.

"Mereka ada kelebihan dan kepakaran masing-masing. (Macam masjid) dalam Seremban ini, mereka mempunyai ramai (golongan) profesional yang terlibat manakala di kampung-kampung juga ada kepakaran dalam menguruskan masjid," katanya.

Sebagai contoh dalam bidang teknologi maklumat katanya, Masjid Kampung Serampang Indah di Jempol kelak mungkin berpeluang mengikuti ceramah agama di Masjid Dato' Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong melalui perkongsian atas talian secara langsung.

"Jadi ini dapat mendekatkan lagi (jurang dan hubungan antara) masjid bandar dan luar bandar. Di samping itu, mereka boleh bawa kepakaran yang ada di masjid ini untuk bantu rakan-rakan kita di Jempol. Mereka di Jempol juga boleh bantu kita dalam program yang lain.

"(Secara tidak langsung) masalah dadah juga boleh diselesaikan, jika kolaborasi dibuat secara bersama. Ini akan meringankan tanggungjawab dan beban di kawasan yang ada masalah (penagihan) dadah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran MASNA di Masjid Dato' Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong, di sini.

Mengulas kriteria pemilihan untuk menyertai MASNA pula, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Tuan Haji Mohd Zaidi Ramli berkata, beberapa aspek akan dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Kita melihat kepada kemampuan pihak masjid, dari segi (faktor) kewangan dan kepakaran. Kita jodohkan dengan (masjid di) kampung-kampung tradisional yang perlukan bantuan dari segi kewangan dan kepakaran.

"Kita dah menilai aspek itu. Insya-Allah, ini fasa pertama. Akan datang, ada beberapa lagi masjid menyusul (untuk menyertai MASNA)," katanya.