MPKK TERIMA PERUNTUKAN RM1,000

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 20 Mac 2019 

1/2

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM433,000 untuk diagihkan kepada 433 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, tujuan penyaluran RM1,000 kepada setiap MPKK itu bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti.

"Kita juga dah putuskan untuk bayar semua bil air dan elektrik (balai raya) yang tertunggak. Apabila mereka ambil alih daripada kerajaan atau JKKK terdahulu, MPKK hadapi masalah itu.

"Ini melibatkan kos lebih kurang RM85,000 hingga RM86,000 di seluruh Negeri Sembilan, yang akan dibayar oleh Pejabat Daerah.

"Kita nak pastikan mereka boleh mulakan semula aktiviti di balai raya dengan kemudahan air dan elektrik. Kita ada sebanyak 246 balai raya yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Razali Ab Malik serta dua Exco iaitu YB Teo Kok Seong dan YB Nicole Tan Lee Koon.