DUN SIKAMAT TUBUHKAN PASUKAN CDERT

Sabtu, 20 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/5

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat telah menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) bagi membantu komuniti ketika berdepan sebarang insiden atau bencana.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, idea penubuhan itu wajar dijadikan sebagai perintis bagi setiap DUN di Negeri Sembilan.

Menurutnya, CDERT bukan sahaja memberi bantuan di peringkat komuniti malah dapat membantu agensi utama dalam menghadapi situasi kecemasan mahu pun bencana.

"Pasukan CDERT boleh ambil tindakan lebih awal dengan cara memberi nasihat dan buat pengosongan, sekiranya keadaan semasa jadi lebih teruk sehingga ke proses pemindahan.

"Sehubungan itu, bilik gerakan akan dibina bagi memudahkan maklumat disalur dan dikumpulkan. Talian hotline pasukan penyelamat dan kecemasan juga akan disediakan nanti.

"Mereka akan turut dibekalkan dengan sebuah mesin gergaji berantai untuk kegunaan semasa kecemasan atau untuk aktiviti setempat," katanya.

Menurutnya, penubuhan itu boleh jadi platform terbaik bagi membangunkan sebuah pasukan yang lebih peka dan proaktif dalam menghadapi sebarang kecemasan atau bencana.

Di samping itu kata Aminuddin, CDERT juga dilihat mampu memupuk semangat ukhuwah dan kerjasama kejiranan.

"Saya minta semua jabatan di peringkat negeri mahu pun persekutuan, dapat berikan sokongan pada program seperti ini.

Tujuannya untuk menerapkan nilai dan budaya dalam konteks kesukarelawanan," katanya selepas merasmikan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) dan CDERT Komuniti DUN Sikamat, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, pihak media juga berperanan penting dalam memberikan liputan meluas terhadap pelaksanaan CBDRM dan CDERT yang julung kali diadakan secara tersusun di Negeri Sembilan.