PLATFORM TERBAIK PROMOSI BUAH-BUAHAN TEMPATAN

Sabtu, 20 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/5

SEREMBAN: Pesta Durian Waghih anjuran Exco Pertanian dan Industri Asas Tani mendapat sambutan begitu menggalakkan bersempena dengan musim buah-buahan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, program ini dilihat sebagai satu peluang kepada pengusaha dan pekebun di Negeri Sembilan untuk mempromosikan hasil tanaman mereka.

"Saya menyeru agar (semua orang) turun dan nikmati buah-buahan ini. Kita perlu sokong produk tempatan dan secara tak langsung dapat tingkatkan ekonomi negeri.

"Kita ada buah durian (jenis) kampung; musang king; D24 dan macam-macam lagi. Buah lain seperti mangga; manggis dan kelapa. Semua ini daripada kawasan di Negeri Sembilan.

"Saya harap program ini jadi acara tahunan kita (negeri) setiap kali musim buah-buahan," katanya selepas menghadiri Pesta Durian Waghih di Centre Point Shopping Complex, di sini, semalam.

Menurutnya, sambutan itu harus diteruskan supaya penduduk sekitar Seremban mahu pun kawasan luar dapat menikmati buah-buahan tempatan di Negeri Sembilan.

Sekali gus kata Aminuddin, penganjuran program berkenaan juga berpotensi meningkatkan jumlah pengunjung ke negeri ini.

Turut hadir ialah adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik; Pegawai Kewangan Negeri, YB Tuan Mohd Khidir Majid serta beberapa Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Tuan Haji Bakri Sawir; YB Puan Nicole Tan Lee Koon dan YB Tuan Teo Kok Seong.

Selain itu, Aminuddin turut mengulas mengenai pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Linggi yang menerima rawatan di Hospital Port Dickson akibat terhidu racun serangga yang disembur di sebuah kebun, berhampiran kawasan sekolah.

Menurutnya, Pengarah Jabatan Pertanian negeri akan turun padang bagi mengenal pasti jenis racun digunakan dan mengenal pasti tindakan harus diambil bagi memastikan kes berkenaan tidak berulang pada masa depan.