PERKENAL INISIATIF BANTU MASJID LUAR BANDAR

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Ahad, 20 Januari 2019 

1/5

SEREMBAN: Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan program masjid angkat, dalam usaha mengimarahkan lagi aktiviti masjid yang berada di kawasan luar bandar.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pelaksanaannya kelak bakal menyaksikan masjid di kawasan bandar mengambil masjid yang terpilih di luar bandar sebagai masjid angkat. 

"Kita tahu (antara) masalah dihadapi masjid luar bandar, khususnya membabitkan (aspek) kewangan untuk mereka mengadakan program.

  

"Kalau tak dibantu oleh masjid-masjid yang berkemampuan di bandar, maka keupayaan mereka untuk melaksanakan aktiviti bagi mengimarahkan masjid adalah terhad.

"Nak bayar bil api (elektrik) dan air pun kadang-kadang tak cukup. Jadi masjid di bandar harus lebih proaktif membantu masjid di luar bandar, agar mereka dapat anjurkan aktiviti dan mengimarahkan masjid dengan lebih baik," katanya. 

Melalui kaedah sebegitu, kata Aminuddin, pembangunan dan peningkatan pemahaman terhadap Islam akan dapat dijalankan secara seimbang serta menyeluruh di negeri ini.

"Sebagai permulaan, Jabatan Agama Islam sedang kenal pasti masjid-masjid (di luar bandar) yang memerlukan sokongan dan dukungan ini untuk diambil oleh masjid berkemampuan.

"Tapi masjid-masjid (di kawasan bandar) yang berkemampuan, kita dah kenal pasti. Tak semestinya melibatkan antara masjid yang sama daerah, (sebaliknya) mana-mana pun boleh.

"Antara bantuan boleh diberikan (misalnya) dari segi kewangan dan (tenaga) sukarelawan. Mungkin mereka boleh adakan majlis gotong-royong di kawasan pedalaman bagi memastikan masjid sentiasa dalam keadaan ceria dan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Kariah Paroi Jaya, di sini.

Turut hadir adalah Pengerusi Majis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein dan pendakwah, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany.