SUMBANGAN RM2.2 JUTA MANTAPKAN PENGURUSAN PBNS

Oleh: Mohd Amin Jalil         Khamis, 20 Disember 2018 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyumbang RM2.2 juta kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), bagi memastikan organisasi itu dapat memainkan peranan penting dalam memacu pencapaian cemerlang ke arah menobatkan sukan bola sepak negeri.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, walaupun PBNS diambil alih pengurusan baharu, namun pihaknya berpuas hati dengan pengurusan sebelum ini berikutan tidak menghadapi masalah kewangan.

"Alhamdulillah, apabila pengurusan baru ambil alih PBNS, didapati tiada masalah kewangan yang ditinggalkan oleh pengurusan lama dan ini sesuatu yang amat baik.


"Justeru, kita mahu pastikan PBNS dapat diurus dengan baik dan kepentingan pasukan termasuk pemain dan j

urulatih diberi keutamaan.

"Kita juga mahu usaha pembangunan bola sepak akar umbi dilaksanakan dengan lebih baik dan agresif dalam melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat kalangan anak negeri ini.

"Ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan bola sepak negeri dan sebab itu kita beri sokongan menerusi sumbangan sebanyak RM2.2 juta," katanya selepas Majlis Hi-Tea Penaja Bersama Menteri Besar, di Klana Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Presiden PBNS, Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Timbalan Presiden merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malek serta rakan-rakan penaja.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya yakin dengan kepimpinan baharu PBNS untuk membuat lonjakan terhadap pasukan bola sepak Negeri Sembilan pada musim depan.

"Walaupun akan beraksi dalam Liga Perdana musim 2019, kita harap pasukan baru ini nanti dapat bersaing dalam Liga Malaysia dengan baik dan mencapai prestasi membanggakan," katanya.

Sementara itu, Tunku Syed Razman mengucapkan terima kasih kepada Aminuddin atas sumbangan berkenaan dan yakin ia akan dapat menjayakan visi dan misi PBNS musim depan.

"Matlamat kita (PBNS) untuk meletakkan hala tuju bola sepak Negeri Sembilan di landasan yang baik dan kembali disegani di persada liga bola sepak negara," katanya.

1/4