RM72,000 UNTUK TABUNG KEMANUSIAAN PALU

Oleh: Mohd Amin Jalil         Khamis, 20 Disember 2018 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberi sumbangan berjumlah RM42,000 kepada Amal Relief Negeri Sembilan (ARIF) untuk misi bantuan kemanusiaan Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan turut menyumbang RM15,000 kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), manakala Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pula menyerahkan sumbangan RM15,015 kepada MAPIM bagi tujuan yang sama.

MAPIM dan ARIF adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan misi di Palu.

Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Exco, Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani; Setiausaha MAINS, Datuk Kamal Amran Kamarudin; Penyelaras MAPIM Negeri Sembilan, Mohd Fuad Othman dan wakil ARIF, Muhammad Aiman Mohammad Zaki.

Tabung Misi Kemanusiaan dan Sukarelawan Belia Bencana Alam Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia dilancarkan pada 10 Oktober lalu.

Kerajaan Negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah menggerakkan usaha kutipan tabung berkenaan ke seluruh negeri.

1/5