206 PEMBELI RUMAH TAMAN PERPADUAN HEIGHTS DAPAT TANAH

Khamis, 19 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju memberi sebidang tanah kepada 206 pembeli rumah di Taman Perpaduan Heights, Kuala Pilah sebagai ganti ekoran masalah projek terbengkalai sejak 13 tahun lalu. 

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, hasil perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Pembeli Projek Terbengkalai Taman Perpaduan Heights pada 23 Oktober tahun lalu mendapati keadaan semasa di tapak sedia ada tidak lagi selamat untuk dipulihkan. 

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti tanah berkeluasan 32.84 ekar di Mukim Ulu Muar, Kuala Pilah dengan keluasan bagi setiap lot dianggarkan antara 3,000 hingga 5,000 kaki persegi.

"(Sebagai) penyelesaian (projek terbengkalai), Kerajaan Negeri akan pastikan pembeli yang teraniaya dapat memiliki sebidang tanah untuk didirikan rumah, manakala kos (membuat rumah) ditanggung sendiri oleh pembeli. 

"Pembeli boleh bangunkan rumah ikut keperluan masing-masing atau berurusan terus dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembangunan Rumah Mesra Rakyat. 

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menetapkan pembangunan rumah dibuat dalam tempoh dua tahun, selepas semua urusan tanah dan Kebenaran Merancang dibenarkan," katanya. 

Menurutnya, masalah tersebut melibatkan 162 pembeli rumah teres kos rendah dua tingkat; 40 pembeli rumah teres kos sederhana dan empat pembeli rumah kedai satu tingkat. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, kata Aminuddin, Kerajaan Negeri meminta Majlis Daerah Kuala Pilah dan Unit Perumahan supaya memulakan kajian teliti ke atas tapak tanah yang dicadangkan di Mukim Ulu Muar. 

"Kawasan ini akan dilengkapkan dengan kemudahan infrastruktur seperti jalan; elektrik dan air serta rizab infrastruktur yang lain seperti kawasan lapang; rizab surau; rizab dewan dan sebagainya. 

"Kita harap penyelesaian ini dapat menamatkan penantian selama 13 tahun bagi kesemua 206 pembeli terbabit," katanya.