PERSIAPAN TMM 2020 SEDANG GIAT DIJALANKAN

Sabtu, 19 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/4

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan kini giat membuat persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020), termasuk menaik taraf pusat pelancongan di negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, satu rombongan daripada pihak Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTEC) akan ke London bagi mempromosikan Negeri Sembilan.

"Insya-Allah, rombongan dijangka berangkat ke London pada November ini untuk 'menjual' nama Negeri Sembilan di sana.

"(Selain itu), saya (juga) telah arahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk pastikan kebersihan di tempat tumpuan termasuk di bandar-bandar, di samping menaik taraf tempat pelancongan," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut melihat pakej pelancongan yang berpotensi untuk dijual di negeri ini sempena TMM 2020 nanti.

"KIta sudah ada pakej pelancongan di Port Dickson, cuma perlu tambah lagi pakej ekopelancongan. Contohnya muzium; gunung; air terjun serta hutan simpan yang boleh dikunjungi pelancong," katanya.

Ditanya mengenai peruntukan diterima MoTEC sebanyak RM1.1 bilion dalam Belanjawan 2020 pula, beliau berharap Negeri Sembilan akan mendapat peruntukan bagi mempromosikan negeri itu sempena TMM 2020.

Sementara itu, Aminuddin berkata, NS Fest 2019 telah dimasukkan dalam kalendar TMM 2020 dan akan menjadi acara tahunan di negeri ini.

"Kita harap festival ini jadi satu impak kepada usahawan; petani; nelayan dan penternak serta peniaga kecil di negeri ini untuk mempromosikan produk mereka.

"Semoga penganjuran ini dapat membantu Kerajaan Negeri menjayakan usaha bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dengan menjadikan keusahawanan serta bidang pertanian sebagai satu kerjaya pilihan.

"Bagi sektor pelancongan, festival ini dapat mengetengahkan tarikan; kelebihan dan keunikan Negeri Sembilan, (sebagai) Negeri Beradat untuk diterokai bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian NS Fest 2019 di Dataran Nilai, di sini, kelmarin.