AADK RANGKUL DUA PINGAT DI NIICE'19

Selasa, 19 November 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

BATU PAHAT: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan berjaya merangkul satu pingat emas dan satu pingat perak dalam pertandingan National Innovation and Invention Exhibition 2019 (NIICE'19), baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Universiti Tun Hussein Onn (UITHM) itu berlangsung pada 14 November sempena 'Kempen Pendidikan Pencegahan Dadah Secara Interaktif'.

Tujuannya bagi meraikan projek-projek inovasi yang boleh memberi impak terhadap komuniti dan organisasi.

Penolong Pegawai AADK Negeri Sembilan, Norfaizatul Huda berkata, pihaknya melaksanakan dua projek kolaborasi bersama UTHM; Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Batu Pahat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Paya, Batu Pahat.

"Projek pertama bertajuk 'Augmented Reality (AR) AADKN9 Information System. Pengenalan kod AR diimbas menggunakan telefon pintar untuk promosikan mesej antidadah secara atas talian. Ini boleh digunakan semasa pameran (secara) bersemuka atau semasa sesi ceramah AADK.

"Bagi projek kedua pula berbentuk permainan papan secara interaktif iaitu 'Saidina AADK'. Permainan ini dicipta khas untuk pelajar sekolah bagi meningkatkan kemahiran asertif dan pengetahuan mereka tentang penyalahgunaan dadah.

"Sebenarnya, cetusan idea terhasil daripada permainan dalam talian 'PlayerUnknown's Battleground's (PUBG). Masa itu tengah panas pasal PUBG. Jadi, dari situ kita dapat idea untuk cari kelainan dengan guna pendekatan berbentuk permainan," katanya.

Pada masa sama, katanya, projek berkenaan akan diajar kepada kakitangan AADK Negeri Sembilan terlebih dahulu cara pengendaliannya pada Disember ini.