HAYATI PERJUANGAN DAN PENGORBANAN RASULULLAH SAW

Isnin        19 November 2018          

19 nov 1-1.jpg

SEREMBAN: Umat Islam perlu menghayati sejarah dan pengorbanan Rasulullah S.A.W bagi mencapai kemajuan dan kebahagiaan hidup yang diredhai Allah.

 

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, kehadiran Nabi Muhammad s.a.w merupakan sebesar-besar rahmat, iaitu tanda kasih sayang Allah yang merentas seluruh alam.

 

Katanya, penganjuran sambutan Maulidul Rasul bukan sekadar memenuhi taqwim, tetapi mahu memastikan umat Islam dapat menghayati perjuangan baginda memartabatkan Islam dan insan.

 

"Justeru, umat Islam perlu terus meningkatkan ilmu pengetahuan serta memantapkan usaha dakwah bagi meninggikan kalimah Allah  S.W.T di atas muka bumi ini.

 

"Melalui usaha sebegini, saya yakin bahawa Islam dan umatnya akan dipandang tinggi oleh orang lain dan akan zahirlah agama Islam sebagai Rahmatan lila’lamin," katanya. 

 

Beliau berucap merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1440H/2018M di Masjid Negeri, di sini, malam ini.

Hadir sama, isteri beliau Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Tuan Zulkefly Mohamad Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik dan Mufti Negeri, Datuk Hj Mohd Yusof Hj Ahmad.

 

Aminuddin yang juga Exco Agama Islam negeri turut menggesa umat Islam agar menumpukan segala daya dan usaha bagi menyantuni masyarakat di sekeliling terutama anak yatim, orang miskin dan mereka yang ditimpa kesusahan.

 

Menurutnya, sikap suka mengambil berat antara satu sama lain adalah sebahagian daripada contoh akhlak yang terpuji seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah.

 

"Kita juga dituntut agar menjauhi segala  bentuk perselisihan dan  perbalahan sesama manusia," tegasnya.

 

Beliau berkata, sebagai agama yang menganjurkan perdamaian dan kasih sayang, setiap Muslim hendaklah berazam untuk terus menyebarkan dakwah kepada mereka yang bukan Muslim.

 

"Ini dapat dilakukan dengan mengajak mereka berdialog mengenai agama, menunjukkan contoh kemuliaan akhlak Islam, bersikap adil dan kebaikan serta menjauhi kezaliman," katanya.

 

Pada majlis itu, Menteri Besar menyampaikan Anugerah Khas Pelajar Cemerlang kategori ijazah dan diploma kepada Muhammad Izzul Naqiudin Azman, Siti Rodhiah Zorkarnain dan Amiruddin Bahrulmazi serta Nafisah Ismail manakala kategori STAM pula milik Ahmad Khairizam Kamil dan Nur Amirah Mohamed Nasir.

 

Masing-masing menerima hadiah sijil, piala dan wang tunai antara RM1,000 hingga RM2,000.

 

Anugerah Khas Saudara Muslim dimenangi Nur Farah Ain Leong Abdullah dengan meraih hadiah sijil dan wang tunai RM2,000 serta pakej menunaikan umrah.

 

Anugerah Khas Imam Masjid pula dimenangi oleh imam Kompleks Islam Rantau, Hj Abd Razak Hj Omar dan Imam Masjid Jamek Batu Kikir, Hj Ahmad Abd Majid dengan masing-masing menerima RM3,000 setiap seorang.

 

Kira-kira 1,000 umat Islam hadir pada majlis berkenaan.