PPR RANTAU SIAP BULAN MEI

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Selasa, 19 Mac 2019 

1/3

SEREMBAN: Pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau yang bermula sejak 16 Januari 2017, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, projek membabitkan 100 unit kediaman dilengkapi pelbagai kemudahan awam itu sudah 95 peratus siap. 

Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh mendapatkan borang permohonan di Unit Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.  

"Kemudian Unit Perumahan akan buat semakan. Jika (pemohon) betul-betul layak, baru kita akan panggil untuk proses cabutan (undi). 

"Kita harap dua lagi projek (PPR) dalam pembinaan di Chembong dan Tanah Merah dapat disiapkan segera.  

"Semoga dapat beri manfaat kepada rakyat, khususnya mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran permohonan PPR berkenaan di Rantau, di sini. 

Dalam perkembangan lain, kata Aminuddin, Kerajaan Negeri telah mencadangkan 11 tapak kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pembangunan PPR baharu.

"Setakat ini, kementerian dah lawat (tapak) di Seremban dan Jempol pada Februari. Hujung bulan ini, mereka akan buat penilaian kali kedua.

"Kita berdoa agar tapak-tapak ditawarkan ini akan dipersetujui pihak KPKT," katanya.