NEGERI SEMBILAN BEKAL AIR TERAWAT KEPADA MELAKA

Rabu, 19 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Nabilsyafiq MH

1/2

AYER KEROH: Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) membekalkan air terawat kepada Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), mulai hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah itu dilaksanakan melalui pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat berkenaan di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, di sini, tengah hari tadi.  

"Alhamdulillah, proses menandatangani perjanjian persefahaman antara Syarikat Air Negeri Sembilan dan Syarikat Air Melaka Berhad berjalan lancar.

"Melalui usaha dilaksanakan, Negeri Sembilan akan membekalkan 12 juta liter air terawat sehari kepada Melaka dengan kadar RM1.40 setiap meter padu, berkuat kuasa hari ini," katanya.

Menurutnya, tempoh perjanjian pula berdasarkan kelulusan lesen individu SAINS sepertimana diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang berakhir pada 31 Disember 2020.

"Bekalan air terawat berkenaan bagi menampung keperluan penduduk di kawasan Pulau Sebang; Jambatan Lubok Cina; Kuala Linggi; Kendong dan Titian Bintangor.

"Turut terlibat adalah kawasan Pondoi; Batang Melaka; Sungai Rambai; Chohong; Tangkak dan Simpang Bekoh," katanya kepada NS Daily, di sini.

Hadir sama pada majlis menandatangani MoU itu merupakan Ketua Menteri Melaka, YAB Tuan Haji Adly Zahari, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri dan barisan Exco kedua-dua negeri.

Pengarah SAINS, Wan Rasdi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Dato' Mohd Khalid Nasir pula mewakili syarikat konsesi air masing-masing.