IMEJ MUZIUM PERLU DINAIK TARAF

Jumaat, 19 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/4

KOTA KINABALU: Imej muzium perlu dinaik taraf supaya masyarakat lebih memahami seni dan budaya Negeri Sembilan, terutamanya golongan muda.

Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, YB Tuan Mohamad Nazaruddin Sabtu berkata, muzium berperanan dalam membentuk jati diri dan sahsiah melalui pameran, penyelidikan dan sebagainya.

"Sekarang ini mereka lebih suka ikut trend, jadi kita kena ubah sesuai dengan minat tempatan. Seni boleh dipelbagaikan.

"(Contoh) di pusat beli-belah di Sabah, mereka (penari) secara terbuka tunjuk tarian etnik kepada orang ramai, ini cara mereka promosi budaya dan seni," katanya.

Menurutnya, setiap negeri mempunyai seni dan budaya tersendiri. Langkah yang digunakan untuk meningkat imej budaya dan seni itu bergantung kepada cara penerimaan orang ramai.

"Negeri kita terkenal dengan (masakan) pedasnya seperti daging salai masak lemak cili api.

"Kluster makanan akan dijadikan identiti bagi negeri beradat ini ," katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2019 Peringkat Kebangsaan Kali Ke-23 yang diadakan di Sabah, tempoh hari.

Sambutan ini dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Mohammadin Haji Ketapi di perkarangan Kompleks Muzium Negeri Sabah yang bertemakan Muzium sebagai Hab Kebudayaan: Masa Depan Tradisi.

Tambahnya lagi, beberapa program menarik akan dijalankan seperti Seminar Antarabangsa Ke-8: Sejarah, Bahasa Dan Budaya Di Alam Melayu (ASBAM8) pada 27 Julai ini di Ancasa Residences Port Dickson.

Festival Teater Negeri Sembilan pula diadakan pada 22 Julai hingga 27 Julai ini di Auditorium Raja Melewar, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN).