TERKENA COVID-19 GARA-GARA SIDANG MEDIA

Selasa, 19 Januari 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib @ Kero
Foto: Ihsan Suara Perak

1/1

KUALA LUMPUR: Masih ingat lagi pada sidang media yang diadakan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas di Ibu Pejabat UMNO, di sini, pada 12 Januari lalu?

Masa itu, YB Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan bahawa beliau menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan sedia ada.

Tetapi bukan itu yang NS Daily ingin fokuskan, sebaliknya apa yang berlaku beberapa hari selepas sidang media tersebut.

Hendak dijadikan cerita, ada salah seorang individu yang hadir pada sidang media berkenaan positif Covid-19.
 

Individu dimaksudkan adalah bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak merangkap penulis blog, Dato' Zaharin Mohd Yasin.

Zaharin memaklumkan kepada umum menerusi blog dan akaun Facebooknya empat hari kemudian, bahawa beliau disahkan positif Covid-19.

Menyedari dirinya sebagai kontak rapat, Mohamed Nazri yang terbaca perkongsian Zaharin lantas membuat ujian saringan.

Hasilnya didapati positif dan kini beliau sedang menjalani proses kuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau sendiri yang mengesahkan perkara berkenaan, ketika dihubungi oleh pihak media pada hari ini.

Agak unik kes yang menimpa Mohamed Nazri. Rasanya ini kali pertama di Malaysia, seseorang individu terkena Covid-19 dalam sidang media.