MB UMUM BANTUAN KHAS PERSEKOLAHAN ANAK PENEROKA FELDA

Oleh: Mohd Amin Jalil         Rabu, 19 Disember 2018 

SEREMBAN: Seramai 15,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kalangan anak peneroka FELDA di Negeri Sembilan bakal menerima bantuan khas persekolahan RM100 setiap seorang.

Berita baik itu diumumkan Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Aminuddin mengumumkan bantuan khas itu di hadapan Ahli-Ahli Dewan DUN pada sesi penggulungan petang tadi.

Katanya, bantuan itu akan membabitkan peruntukan berjumlah RM2 juta dan bakal disalurkan seberapa segera kepada semua sekolah.


"Ibu bapa pelajar boleh mendapatkan bantuan ini menerusi

Guru Besar dan Pengetua sekolah anak masing-masing," katanya. 

Terdahulu, ada kalangan ahli Dewan membangkitkan permasalahan beban kehidupan peneroka FELDA berikutan keadaan harga komoditi kelapa sawit dan getah yang rendah.

Menteri Besar berkata, bantuan itu sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap warga peneroka FELDA di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Dewan yang memberikan kerjasama dalam memastikan persidangan DUN kali ini berjalan lancar.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada teman-teman dan mereka yang mendoakan kesihatan saya, serta mendoakan untuk saya mentadbir negeri ini dengan keadaan aman.

"Saya menyeru agar kita sama-sama dapat membangunkan negeri ini, walaupun kita mempunyai fahaman politik yang berbeza.

"Tidak lupa kepada pegawai kerajaan, saya ucapkan terima kasih dan tahniah," katanya.

1/1