SEKTOR PELANCONGAN NEGERI SEMBILAN DIPERHEBATKAN

Oleh: Mohd Amin Jalil         Rabu, 19 Disember 2018 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri akan sentiasa mempelbagaikan pakej pelancongan Negeri Sembilan bagi meningkatkan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, antara pakej pelancongan yang ditawarkan oleh pengusaha produk pelancongan adalah pakej inap desa Pachitan, pakej 'Colours of Negeri Sembilan' iaitu persembahan kebudayaan Negeri Sembilan dan pakej 'Murex Watersport' (permainan sukan air seperti 'snorkeling', memancing dan jet ski).


Beliau yang juga Adun Sikamat ketika menjawab soalan Tuan Ng Chin Tsai (DAP-Temiang) berkata, Kerajaan Negeri akan sentiasa memajukan aktiviti pelancongan tempatan merangkumi keseluruhan kawasan berdasarkan

kesesuaian dan sejauh mana potensi sesuatu kawasan tersebut dapat menarik bilangan kedatangan pelancong, serta berupaya menghasilkan impak pelancongan yang berkesan.

 

"Produk sedia ada di kawasan Temiang seperti Ban Joo Lee (balai polis lama), Masjid Jamek Seremban, bangunan Penasihat Undang-Undang, Tokong Lit Sent Gong, Tokong Tam Gong, Persatuan Sei Yap Negeri Sembilan dan Persatuan Fui Chew Negeri Sembilan akan disenaraikan sebagai satu daripada produk tarikan pelancongan dalam pelaksanaan program 'Seremban Heritage Trail', " katanya pada Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan Ke-14, hari ini.

Sementara itu, Dewan juga diberitahu bahawa penduduk miskin tegar dan miskin yang berdaftar dalam eKasih di Negeri Sembilan sehingga 31 Oktober tahun ini adalah seramai 10,597 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan negeri, Puan Nicole Tan Lee Koon berkata, mengikut pecahan daerah, Seremban mencatat 5,516 orang, Kuala Pilah (1,430 orang), Jempol (980 orang), Tampin (871 orang), Rembau (691 orang), Jelebu (608 orang) dan Port Dickson (501 orang).

"Berdasarkan laporan bantuan eKasih sehingga 31 Okt lalu, bilangan penerima bantuan adalah sebanyak 7,212 orang dengan jumlah 26,862 bantuan dalam pelbagai jenis.

Tan berkata berdasarkan laporan eKasih dalam tempoh yang sama, mereka yang dikategori sebagai kumpulan terkeluar daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) tahun 2014 atas sebab peningkatan pendapatan adalah sebanyak 12,551 ketua isi rumah.

"Antara faktor penyumbang ke arah peningkatan pendapatan adalah kerana mereka menerima bantuan daripada agensi kerajaan.

1/1