NS TERIMA 20 PROJEK PELABURAN BAHARU

Oleh: Mohd Amin Jalil         Rabu, 19 Disember 2018 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa terbuka dan mengalu-alukan pelaburan baharu khususnya di sektor perindustrian.

Exco Pelaburan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, berdasarkan data projek yang telah diluluskan di Negeri Sembilan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dari tempoh Januari hingga Jun 2018, kerajaan negeri telah menerima sebanyak 20 projek dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.6 bilion.

"Daripada jumlah itu, RM1.1 bilion merupakan sumbangan pelaburan asing manakala selebihnya iaitu RM0.5 bilion adalah pelaburan tempatan.

"Menerusi 20 projek yang diluluskan itu, ianya bakal membuka 1,661 peluang pekerjaan di negeri ini.

"Pada masa sama, kerajaan negeri sedang meneliti permohonan daripada beberapa pelabur baharu tempatan dan luar negara yang berminat untuk menjalankan perniagaan di Negeri  Sembilan," katanya.

Beliau yang juga Adun Ampangan menjawab soalan daripada Adun Seremban Jaya, Tuan P Gunasekaran pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-14, hari ini.

Pada persidangan DUN yang lalu, kerajaan negeri sudah meluluskan penubuhan Perbadanan Pelaburan NS (NS Corp) 2018, sebagai sebuah badan pelaburan negeri yang memberi tumpuan kepada pelaburan dan pembangunan negeri.

1/1