CEBISAN ORGAN DALAMAN BERTABURAN SEJAUH 200 METER

Ahad, 19 April 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Ihsan Bomba

1/5

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal dipercayai menjadi mangsa langgar lari oleh kenderaan berat dalam satu kemalangan di Kilometer 267.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, sekitar jam 2 pagi tadi.

Insiden yang berlaku berhampiran susur keluar Plaza Tol Ainsdale arah Seremban itu menyebabkan cebisan organ dalaman lelaki terbabit bertaburan sejauh 200 meter.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) Mohd Syazwan Saidy berkata, mangsa dikenali sebagai J Alferd dan berusia 40 tahun.


"Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bergegas ke tempat kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.18 pagi.
 

"Kita bantu polis trafik angkat mangsa, kutip isi dan organ (dalamannya) sejauh 200 meter dari tempat kemalangan serta bersihkan jalan raya.

"Tiga motosikal Rapid (Unit RIM) dari balai bomba yang sama, turut membantu di lokasi," katanya yang memaklumkan operasi tamat jam 3.50 pagi.

Menurutnya lagi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss MR1 ketika kejadian, disahkan maut di lokasi berkenaan.

"Kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja'afar. Kemudian, mangsa diserahkan kepada pihak forensik untuk tindakan lanjut," katanya.