PUSAT KUALITI ALAM TIDAK BOLEH DITUTUP SERTA-MERTA

Jumaat, 18 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/2

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan bahawa Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bandar Sri Sendayan tidak boleh ditutup secara serta-merta berikutan perlu mengambil kira pelbagai aspek.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, setakat ini terdapat dua insinerator di pusat pelupusan berkenaan, yang mana satu daripadanya akan dihentikan operasi pada hujung tahun ini manakala satu lagi ditutup sebelum 2025.

"Buat masa sekarang, mereka (pengurusan Kualiti Alam) akan tutup insinerator dulu. Kemudiannya (sisa) buangan terjadual akan dikurangkan secara berpingkat.

"Jika kita tutup serta-merta, di mana pengusaha atau industri terlibat nak hantar sisa terjadual mereka untuk dirawat? Kita boleh tutup pusat itu sekarang, tapi bagaimana keadaan di luar sana? Di mana bahan buangan terjadual ini nak dilupuskan?

"Kesannya (nanti) sisa buangan terjadual ini akan dibuang ke dalam laut; sungai; tasik; lombong dan sebagainya. Itulah sebabnya kita kata, ini ambil masa untuk kajian.

"Tapi yang penting, Kerajaan Negeri dah sampaikan mesej dengan jelas kepada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.

Terdahulu pada 15 Oktober lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Puan Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, penutupan operasi dua insinerator Pusat Kualiti Alam itu merupakan langkah tepat kerana menggunakan teknologi lama, di mana pelepasan gas dari insinerator itu mengundang lebih banyak kesan pencemaran berbanding teknologi moden iaitu sisa pepejal kepada tenaga (WTE).