TAHNIAH BUAT PASUKAN NEGARA BAWAH 18 TAHUN: CHEE KEONG

Ahad, 18 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

Juruvideo: Nurul Haryani Hasrol

1/1

SEREMBAN: "Saya nak ucapkan tahniah kepada pasukan bawah 18 tahun kita. Saya percaya dengan semangat dan kegigihan latihan sebelum ini, kita akan mampu tunjukkan prestasi yang terbaik," ujar Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Steven Sim Chee Keong.

Itu reaksi beliau ketika diminta mengulas pencapaian cemerlang Skuad Negara yang berjaya mara ke peringkat akhir Kejohanan Bawah 18 Tahun (B-18) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019, malam esok.

Chee Keong berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Perlumbaan Berbasikal 'CIMB Foundation Cri-Terium Series 5-2019' yang berlangsung di D'Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Skuad bimbingan Brad Maloney mengesahkan slot di pentas final, selepas menundukkan pasukan Indonesia dengan jaringan 4-3 dalam pertembungan yang cukup mendebarkan di Binh Duong Stadium, Vietnam semalam.

Harith Haiqal muncul sebagai wira sebanyak dua kali dalam perlawanan berkenaan. Pertama ketika menjaringkan gol penyamaan Harimau Muda pada minit ke-83 menerusi tendangan penalti, tatkala ketinggalan 2-3.

Seterusnya Harith Haiqal meledakkan gol kemenangan melalui aksi tandukan terbang di far post sebelah kanan, selepas bijak membaca hantaran Mukhairi Ajmal yang berpunca daripada situasi sepakan percuma tatkala perlawanan memasuki masa tambahan.

Malaysia seterusnya akan bertemu pasukan Australia dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Thong Nhat Stadium, Vietnam jam 8.30 malam esok. 

 

Untuk rekod, sebelum ini Harimau Muda telah menundukkan The Young Socceroos dengan jaringan 3-0 dalam saingan peringkat Kumpulan B pada 13 Ogos lalu.