KES NORA: INDUSTRI PELANCONGAN NEGERI SEMBILAN TIDAK TERJEJAS

Ahad, 18 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/5

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan menaruh keyakinan bahawa industri pelancongan di negeri ini tidak terjejas ekoran kes kematian Nora Anne Quoirin, 15.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pelancong tempatan dan antarabangsa boleh terus hadir ke Negeri Sembilan tanpa ada sebarang kerisauan.

"Walaupun kita tahu ada berlaku kemalangan yang tak dapat dielakkan, namun saya yakin bahawa kita masih mempunyai (lain-lain) kawasan pelancongan yang mampu tarik lebih ramai pelancong.

"Kita harap pelancong (tempatan dan antarabangsa) tak rasa takut untuk datang ke Negeri Sembilan kerana kawasan tersebut (Pantai Hills) hanya salah satu daripada beberapa lagi lokasi pelancongan yang ada di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu menurutnya, keputusan sama ada untuk meneruskan atau memberhentikan operasi resort berkenaan akan ditentukan pada 31 Ogos ini.

“Sebenarnya kerajaan negeri sedang membuat proses pemutihan yang akan berakhir pada 31 Ogos ini. Selepas itu kita akan putuskan, sama ada kita akan teruskan (operasi) atau tak.

“Kita akan lihat dari segi keselamatan; binaan; kelulusan dan (secara) keseluruhannya untuk kita pertimbangkan. Jika benar-benar selamat, tiada masalah untuk kita teruskan (operasi),” katanya.

Aminuddin dalam pada itu juga turut menasihatkan pengunjung yang ingin bercuti di kawasan berkenaan supaya mengutamakan keselamatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Ladang Peringkat Daerah Port Dickson di Dataran Kampung Pachitan, di sini, semalam.

Keputusan prestasi pelancongan domestik 2018 dibentangkan oleh Tourism Malaysia baru-baru ini menyaksikan Negeri Sembilan antara lima negeri yang paling ramai dikunjungi pelancong domestik dengan rekod seramai 6.1 juta pelancong.