KEJOHANAN CATUR WAJAR JADI ACARA TAHUNAN

Isnin, 18 November 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/5

SEREMBAN: Kejohanan Catur Piala Dato' Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong yang berlangsung di D'Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan pada 16 November lalu wajar dijadikan sebagai acara tahunan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, penganjuran kejohanan itu dilihat mampu mempopularkan kembali sukan catur terutama di kalangan pelajar dan golongan belia.

Menurutnya, pertandingan tersebut melibatkan kerjasama antara pihak D'Tempat Country Club, selaku penganjur utama dengan pejabat YTM Undang Luak Sungei Ujong.

"Apabila melibatkan institusi beradat ini, secara tak langsung dapat merancakkan lagi usaha untuk popularkan sukan catur. Sukan ini banyak mengasah pemikiran pemain.

"Kejohanan ini pertandingkan kategori Raja dan Permaisuri (terbuka); bawah 12 dan 15 tahun. Kita nampak ini sebagai platform bagi mencungkil bakat baru serta peluang mempamerkan kebolehan masing-masing.

"Sambutan yang baik ini wajar dijadikan (sebagai) acara tahunan. Kita nak pastikan semua sukan diberi perhatian, termasuk sukan catur," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai persiapan kontinjen Negeri Sembilan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, Taufek berkata, persiapan awal telah dilakukan dengan meminta setiap persatuan sukan negeri membuat pemilihan atlet dan ujian kecergasan.

"Saya yakin, pihak persatuan (sukan negeri) dah pun mulakan beberapa siri latihan. KIta nak pastikan atlet yang dipilih itu ada kecergasan pada tahap terbaik.

"Kita juga dah turun ke Johor dua minggu lepas untuk lihat tempat pertandingan dan juga tempat penginapan atlet.

 

"Kami sempat berkenalan dengan jabatan yang (bakal) jadi bapa angkat kepada kontinjen Negeri Sembilan untuk menjaga kebajikan atlet kita nanti," katanya kepada NS Daily, di sini, tempoh hari.

Pada masa sama, katanya, beliau berharap agar Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan bajet yang sesuai untuk melancarkan urusan kontinjen Negeri Sembilan di SUKMA 2020 seperti negeri lain.