WANITA KERUGIAN RM99,040 ANGKARA TAC?

Khamis, 18 Jun 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib @ Kero

Foto hiasan: Ihsan WEAU & SME Japan
 

1/2

SEREMBAN: Rasanya semua orang tahu pasal kewujudan TAC kan? Bukan Terrible-monster Attacking Crew dalam siri 'Ultraman Ace'!

TAC yang Kero maksudkan adalah Transaction Authorisation Code atau dalam Bahasa Melayu bermaksud, Kod Pengesahan Transaksi.

Gara-gara TAC ni, seorang wanita berbangsa Cina yang beralamat di Seremban dah jadi mangsa penipuan Macau Scam dengan kerugian berjumlah RM99,040.

Kisahnya bermula pada 16 Jun lalu, lebih kurang jam 1 petang. Masa tu, wanita berkenaan terima panggilan daripada seorang lelaki bernama Zuhaimi di nombor +87087410786.

Menurut Zuhaimi, mangsa yang berusia 21 tahun dan merupakan seorang pelajar telah disyaki sebagai suspek untuk satu kes penggubahan wang haram dari akaun bank JP Morgan Chase.

Kemudian, Zuhaimi suruh mangsa bercakap pasal kes tu dengan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Sarjan Pozlan.

Selesai bercakap dengan Sarjan Pozlan, dia kena bercakap pula dengan seorang pegawai bernama Muhammad Redza.

Pegawai terbabit minta semua maklumat yang berkaitan dengan akaun bank mangsa. Alasannya, sebab nak periksa kes tu.

Selepas beri segala maklumat diperlukan, pegawai berkenaan minta mangsa serahkan TAC ke nombor 011-39321339 sekiranya ada terima pesanan.

Mangsa pun apa lagi, berilah TAC lebih kurang 23 kali. Kemudian bila mangsa semak akaun bank, semua duit dia dah dipindahkan ke beberapa akaun tidak dikenali.

Atas sebab tu, mangsa telah buat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Begitulah sepertimana dimaklumkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab Ghani menerusi satu kenyataan kepada media, hari ni.

Berdasarkan semakan polis, nombor +87087410786 ada terlibat dengan kes lain iaitu:

Tarikh: 6 April 2020
Amaun: RM2,400
Lokasi: Bukit Jalil

Tarikh: 1 April 2020
Amaun: RM4,350
Lokasi: Ranca-Ranca

Pada masa sama, nombor 011-39321339 pun didapati ada terlibat dengan beberapa kes lain iaitu:

Tarikh: 10 Jun 2020
Amaun: RM8,000
Lokasi: Kepala Batas

Tarikh: 3 Jun 2020
Amaun: RM3,320
Lokasi: Senawang

Tarikh: 31 Mei 2020
Amaun: RM9,529
Lokasi: Kg Tawas

Tarikh: 1 April 2020
Amaun: RM4,350
Lokasi: Ranca-Ranca

Tarikh: 26 Mac 2020
Amaun: RM5,260
Lokasi: Jinjang