PUSAT PERNIAGAAN NILAI 3 AKAN DIPROMOSIKAN SEMULA

Selasa, 18 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Mohd Zamzuri Daud

1/4

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan merancang untuk mempromosikan semula Pusat Perniagaan Nilai 3, di sini, sebagai destinasi membeli-belah dan pelancongan yang terbaik di negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah itu bakal dilaksanakan melalui kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan.

Menurutnya, syarikat terbabit bersetuju mengambil-alih tanggungjawab untuk mempromosikan semula kawasan berkenaan.  

 

"Usaha kita (untuk menaikan semula Nilai 3) ini di peringkat akhir, iaitu (melibatkan) mengenai urusan tanah.

"Kita dah final-kan (muktamadkan). Saya rasa dalam sebulan dua, kita akan mula (proses yang dirancang). Insya-Allah," katanya.

Selain aktiviti promosi yang hebat, kata Aminuddin, tempat jualan berbentuk tapak ekspo berskala besar juga akan disediakan di situ.

"Bukan saja ada (mengetengahkan) syarikat-syarikat, tapi juga (dibuka peluang) kepada peniaga-peniaga tempatan.

"Ini bakal menarik lebih ramai pelancong atau pembeli dari luar Negeri Sembilan. (Pihak) yang akan terlibat (dalam usaha ini) adalah Majlis Perbandaran Nilai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengikuti program AEON Charity Run & Ride 2019 di pekarangan AEON Mall, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik; ADUN Nilai, YB J Arul Kumar dan Pengarah AEON Credit Service (M) Berhad, Datin Yasmin Merican.