TINGKATKAN INDUSTRI PELANCONGAN NEGERI SEMBILAN

Khamis, 18 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/8

TAMPIN: Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun menyeru semua jabatan dan agensi kerajaan agar mengambil langkah proaktif dan kreatif, ke arah menambah baik dan mempromosikan produk pelancongan di Negeri Sembilan.

Menurutnya, industri pelancongan harus dimantapkan kerana industri ini merupakan antara faktor penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

"Daerah Tampin ada banyak tempat  menarik untuk dilawati. (Antaranya) seperti Gunung Tampin, Tugu Peringatan Sungai Kelamah dan Homestay Kampung Londah.

"Ada juga Batu Megalit Datuk Nisan Tinggi, Stesen Keretapi Lama Gemas, Tampin Waterpark dan Tampin Xtreme Park.

"Sehubungan itu, Unit Pelancongan Daerah perlu lebih proaktif mempromosikan produk-produk pelancongan di daerah ini, " katanya.

Mengulas mengenai Tampin Eco Challenge 2019, Aminuddin berkata, aktiviti berkenaan mampu meningkatkan jumlah pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain itu katanya, aktiviti tersebut juga merupakan satu platform bagi remaja masa kini yang meminati acara sukan lasak.

"Aktiviti sukan dapat melahirkan masyarakat yang cergas," katanya pada perasmian penutup Tampin Eco Challenge 2019 di Tampin Extreme Park, di sini, tempoh hari.

Program anjuran Majlis Daerah Tampin dan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan ini julung kali diadakan.

Sebanyak tiga disiplin dipertandingkan iaitu berkayak sejauh 5 kilometer (km); berbasikal 50 (km) dan larian 20 km serta dua kategori diperkenalkan iaitu Terbuka serta Badan Beruniform dan Kerajaan.

Turut hadir adalah Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Tuan Haji Ismail Ahmad; Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Tuan Teo Kok Seong; Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Tuan S Veerapan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, Puan Shuhaiza Sharudin.