LIMA JABATAN CAPAI TAHAP CEMERLANG

Khamis, 18 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/2

SEREMBAN: Hasil Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Negeri Sembilan Siri 1 menunjukkan lima jabatan mencapai tahap cemerlang dan enam jabatan mencapai tahap baik serta melepasi syarat.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, hal ini berkaitan dengan pengurusan aktiviti dan kewangan yang terbahagi kepada dua bahagian. 

Menurutnya, bahagian pertama merujuk kepada agensi melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran berhubung Pengurusan Penyenggaraan Saliran Mesra Alam.

Seterusnya kata beliau, bahagian kedua pula memfokuskan kepada Pengurusan Kewangan Jabatan dan Agensi Negeri.

"Perkara ini berhubung dengan Pengauditan Pengurusan Kewangan iaitu Indeks Akauntibiliti dan Pengauditan Mengejut.

"11 jabatan dan agensi telah diaudit. Semua okey (baik), tiada isu serius yang dibangkitkan," katanya. 

Tambahnya, pihaknya memberi perhatian serius terhadap segala isu yang dibangkitkan dan tindakan penambahbaikan sentiasa dilakukan.

"Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan kemahiran serta potensi pegawai dapat ditingkatkan.

"(Antara) program diadakan adalah Bengkel Pengurusan Korporat GLC, Pelan Integriti Kewangan, Retreat Bajet 2019 dan Hala Tuju Bajet 2020. 

"(Program) ini melibatkan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua Jabatan dan ADUN," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam. 

Tambahnya lagi, perkara ini dilaksanakan bagi memastikan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri berada di tahap yang cemerlang dan teratur.