PERUBAHAN WAKTU OPERASI UTC DISAMBUT BAIK

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Jumaat, 18 Januari 2019 

1/7

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri menyambut baik pelaksanaan waktu operasi baharu Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan di Seremban yang berkuat kuasa mulai Selasa depan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah diambil sememangnya tepat berikutan premis berkenaan merupakan salah satu UTC yang paling menjadi tumpuan.

"Kita sedia maklum, UTC Ampangan antara tersibuk di negara ini berdasarkan dari segi kajian bukan saja dibuat oleh kita (Kerajaan Negeri) tapi juga kajian pihak kementerian.

"Apabila kerajaan meluluskan beberapa UTC untuk disambung (waktu operasi) hingga jam 10 malam, kita amat alu-alukan. 

"Sebab bukan saja orang Negeri Sembilan yang hadir (ke UTC Ampangan), tapi termasuk dari negeri-negeri jiran," katanya.

Menurutnya, pelbagai kelebihan dimiliki UTC Ampangan misalnya dari aspek tempat meletak kenderaan merupakan faktor yang memudahkan urusan orang ramai. 

"Jadi, ini satu tempat yang menarik. Alhamdulillah, saya ucapkan ribuan terima kasih pada kementerian yang telah mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengikuti Program Back to School TNB dan Penyerahan Kunci Projek Baiti Jannati 2019 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, di sini, hari ini.   

Media melaporkan sebelum ini, pelaksanaan waktu baharu itu sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Pada masa sama, langkah berkenaan diambil berdasarkan maklum balas orang ramai yang memohon agar operasi UTC di beberapa lokasi tertentu dibuka sehingga 10 malam.

Selain UTC Ampangan, UTC Shah Alam (Selangor) dan Keramat (Kuala Lumpur) akan turut beroperasi dari jam 1 tengah hari hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis, dan dari jam 2.45 petang hingga 8 malam pada Jumaat.

Pada Sabtu dan Ahad pula, ketiga-tiga UTC ini akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.