KEKANGAN KEWANGAN BUKAN HALANGAN SAINS

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Jumaat, 18 Januari 2019 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri menaruh keyakinan terhadap kemampuan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) untuk terus memberi perkhidmatan terbaik, walaupun berdepan kekangan kewangan dalam setiap pengoperasiannya.

 

Keyakinan itu dizahirkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun ketika berucap pada Majlis Makan Malam SAINS 2018 dan Majlis Anugerah Cemerlang 2017 di Royale Chulan, di sini, malam tadi.

 

Menurut beliau, harapan tersebut sejajar dengan kematangan dimiliki agensi berkenaan yang kini mencecah usia 10 tahun, sejak penubuhannya pada Januari 2009.


"Besarlah harapan saya sebagai Pengerusi SAINS untuk melihat keupayaan mereka memberikan perkhidmatan terbaik, melebihi apa yang diimpikan penduduk dan pelabur besar di Negeri Sembilan menjelang 2020 nanti.

 

"Kita sedia maklum bahawa pertambahan permintaan terhadap bekalan air bagi tahun-tahun mendatang dijangkakan terus meningkat, selaras dengan pembangunan pesat di negeri ini.

 

"Saya juga benar-benar berharap SAINS boleh bersama-sama dengan saya memacu Negeri Sembilan untuk menjadi sebuah negeri yang maju dan dipercayai oleh pihak luar," katanya.

 

Sebagai tanda sokongan terhadap komitmen, kerjasama dan prestasi ditunjukkan, kata Aminuddin, maka pihak Lembaga SAINS telah meluluskan pemberian bonus kepada warga petugasnya, baru-baru ini.

 

"Sesuai dengan matlamat kita pada malam ini bagi meraikan mereka yang cemerlang dan mengenang jasa mereka yang telah bersara, saya juga berbesar hati untuk mewujudkan satu lagi anugerah istimewa iaitu Anugerah '0' (Zero) Cuti Sakit.

 

"Tujuan semua anugerah ini bukan sekadar suka-suka, tapi lebih kepada memberi semangat dan mewujudkan saingan yang sihat antara seluruh warga SAINS agar dapat memupuk dalam diri masing-masing untuk lebih bertanggungjawab dan berdisiplin semasa bekerja," katanya.

 

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah isteri beliau, Datin Seri Hajah Wan Hasni Wan Yusof; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Razali Ab Malik; Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Mohd Azhar Mohd Yusoff dan Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Khidir Majid.

 

 

 

 

 

  

1/4