RAKYAT NS SOKONG BAJET 2019

Oleh: Mohd Amin Jalil         Selasa, 18 Disember 2018 

SEREMBAN: Pelbagai pihak menyambut baik Pembentangan Bajet 2019 Kerajaan Negeri Sembilan oleh Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun, semalam.

Selain orang ramai dan kakitangan awam negeri, turut memberikan sokongan adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang mewakili kalangan usahawan, ahli perniagaan, wanita, belia dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Bendahari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Ramli Musa berkata, peruntukan Tabung Pembangunan Usahawan berjumlah RM3 juta adalah sesuatu yang tepat pada masanya kerana diyakini mampu membantu usahawan meningkatkan pencapaian mereka.


"Sebelum ini tiada peruntukan khusus diberikan Kerajaan

Negeri untuk membantu usahawan.

"Menerusi peruntukan RM3 juta berkenaan, kami yakin dana ini akan dapat dimanfaatkan oleh usahawan di Negeri Sembilan untuk mengembangkan perniagaan," katanya kepada pemberita hari ini.

Wakil sebuah NGO dari Sikamat, Kamariah Mohd Noor, 56, turut menyambut baik bajet itu yang memperuntukan RM0.90 juta bagi membantu ibu tunggal.

"Saya mewakili kalangan ibu tunggal mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri yang begitu prihatin dengan nasib dan kehidupan ibu tunggal.

"Saya yakin, peruntukan diumumkan dalam bajet itu amat dinantikan golongan ibu tunggal yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga ketika berdepan bebanan kos sara hidup yang menekan," katanya.

Pengerusi MPKK Kampung Merbah Indah, Mohd Noh Sudi, 59, pula melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada YAB Menteri Besar kerana mengumumkan kenaikan elaun MPKK daripada RM500 kepada RM900 sebulan.

"Saya ucapkan terima kasih atas kenaikan elaun berkenaan dan yakin perkara ini disambut baik semua Pengerusi MPKK.

"Ini pasti akan meningkatkan motivasi semua Pengerusi MPKK untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Semalam, Menteri Besar yang juga Adun Sikamat membentangkan bajet berimbang berjumlah RM430 juta pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Ke-14, yang sedang berlangsung sekarang.

Antara intipati dalam bajet itu termasuk bantuan khas satu bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam negeri; bas percuma dalam bandar Seremban; bantuan bas sekolah; kenaikan imbuhan bilal; siak dan pembantu am wanita serta kenaikan elaun guru KAFA.

1/1