KADAR PENGANGGURAN DI NEGERI SEMBILAN TERKAWAL

Oleh: Mohd Amin Jalil         Selasa, 18 Disember 2018 

SEREMBAN: Kadar pengangguran di Negeri Sembilan pada tahun 2017 adalah 2.8 peratus berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ahli Exco negeri, Tuan J Arul Kumar berkata, angka tersebut mengikut perkadaran penduduk yang menganggur kepada jumlah penduduk dalam tenaga buruh.

Menurutnya, kadar pengangguran di Negeri Sembilan masih dalam keadaan terkawal, di mana banyak peluang pekerjaan disediakan.

"Sebagai contoh dari Januari hingga Oktober 2018, sebanyak 40,409 kekosongan telah dilaporkan kepada JobsMalaysia Negeri Sembilan.

"Antara punca pengangguran di Negeri Sembilan adalah Mismacth antara kelulusan dan keperluan industri.

"Selain itu disebabkan kebolehpasaran graduan yang rendah akibat kekurangan softskill (komunikasi, kepemimpinan, komputer) dan sikap memilih pekerjaan oleh pencari kerja," katanya bagi menjawab soalan Adun Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan, pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sembilan ke-14, di sini, hari ini.

Arul berkata, antara langkah yang diambil kerajaan dalam mengatasi masalah itu adalah mengadakan kerjasama antara pusat pengajian tinggi/pusat latihan kemahiran dengan pihak industri.

Selain itu katanya, dengan cara memberi latihan dan bimbingan kepada pencari kerja serta mewujudkan program meliputi penyediaan menghadiri temuduga dan haluan kerjaya.

"Melalui usaha ini, kita lihat ianya memberi impak positif dalam membantu pencari kerja sekali gus membolehkan mereka mendapat pekerjaan," katanya.

1/1