DUN NS BERTAFAKUR ZAHIR TAKZIAH PEMERGIAN ADIB

Oleh: Mohd Amin Jalil         Selasa, 18 Disember 2018 

SEREMBAN: Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 hari ini bertafakur dan merakam ucapan takziah kepada keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia malam tadi.

Allahyarham mengalami cedera parah selepas dipercayai diserang dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Kesemua ahli Dewan bersama sekalian hadirin yang beragama Islam membacakan Surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Allahyarham Muhammad Adib.


Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun menzahirkan rasa sedih atas pemergian anggota

Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu yang disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam tadi.

Beliau merakamkan perasaan tersebut selepas selesai sesi pertanyaan lisan pada persidangan itu pagi tadi.

“Kerajaan negeri terharu dan berasa sedih atas kehilangan Muhammad Adib. Allahyarham pergi dengan satu pergorbanan yang besar.

“Kita harus ambil iktibar daripada apa yang berlaku dan menimpa Muhammad Adib.

"Saya harap penjawat awam di Negeri Sembilan terus berusaha gigih dalam memberikan perkhidmatan terbaik, dengan mencontohi Allahyarham Muhammad Adib demi untuk kepentingan masyarakat dan negara,” katanya.

Terdahulu sebelum perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta dewan berhenti seketika bagi menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Muhammad Adib.

1/1