NEGERI SEMBILAN BANTU BEKAL AIR BERSIH KE MELAKA

Selasa, 17 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Nurul Haryani Hasrol

1/6

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) membekalkan air bersih ke Melaka, dalam usaha membantu negeri itu yang kini berdepan masalah bekalan air.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan semua kawasan di Melaka mendapat bekalan air bersih yang mencukupi.

Menurutnya, perkongsian bekalan air ke beberapa kawasan yang terjejas di negeri terbabit dapat dilaksanakan ekoran paras empangan di Negeri Sembilan berada pada tahap yang baik.

"Kita sedia maklum, masalah air di Melaka hari ini agak meruncing. Ketika saya ke Melaka dua hari lepas, saya juga dimaklumkan bahawa mereka memerlukan (bekalan) air (bersih).

"Mereka dah gunakan beberapa tempat untuk menyalurkan air (daripada) kita. Kita harap dengan adanya bekalan air yang mencukupi di Negeri Sembilan, kita mampu membantu mereka," katanya.

Tambahnya, bantuan berkenaan berdasarkan perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara SAINS dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pada 19 Jun lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Hari Malaysia 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, di sini, semalam.

Menerusi MoU dimeterai, SAINS akan membekalkan sejumlah 12 juta liter air terawat sehari kepada Melaka dengan kadar RM1.40 setiap meter padu, berkuat kuasa pada 19 Jun 2019.

Tempoh perjanjian pula berdasarkan kelulusan lesen individu SAINS sepertimana diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang berakhir pada 31 Disember 2020.