BERI RUANG KEPADA PENGUSAHA KENDERA SAJI NEGERI SEMBILAN

Selasa, 17 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh & Nurul Haryani Hasrol

1/5

NILAI: Pengusaha kendera saji Negeri Sembilan perlu diberi ruang untuk sama-sama mengembangkan perniagaan di GEMBOX@Nilai yang bakal memulakan operasi pada suku pertama tahun depan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata sehubungan itu, pihaknya telah mengutarakan perkara berkenaan kepada pengurusan GD Holdings untuk dipertimbangkan.

"Kita sedia maklum, inilah peluang untuk kembangkan perniagaan. Kita lihat, ramai anak-anak muda kita berpeluang untuk terlibat sama.

"(Jadi) saya nyatakan tadi kepada Pengerusi GD Holdings, minta diberi ruang juga kepada (pengusaha) food truck (kendera saji) yang berasal dari Negeri Sembilan. Bukan saja kepada persatuan food truck (kendera saji) Selangor.

"Kita sedia maklum, Negeri Sembilan mempunyai banyak perkara menarik khususnya (bab) makanan yang boleh diketengahkan seperti rendang; lemang dan pelbagai lagi," katanya.

Pada masa sama, kata Aminuddin, produk yang dihasilkan oleh industri kecil di luar bandar juga boleh diketengahkan di kawasan perniagaan baharu itu.

"Kita akan lihat bagaimana peranan pihak-pihak tertentu untuk memastikan produk luar bandar dapat dipasarkan di GEMBOX@Nilai ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah GEMBOX@Nilai yang telah diadakan di Nilai Vision City Sales Gallery, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, YB Tuan J Arul Kumar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Dato' Zazali Salehudin.

GEMBOX@Nilai mula dibina pada bulan ini di atas tanah seluas 15 ekar, bakal menempatkan 850 gerai yang menjual pelbagai produk termasuk makanan dan kraftangan dari seluruh negara.

Pasar malam berkonsepkan kabin itu dijangka menjadi sebuah pasar malam yang terbesar bukan sahaja di Negeri Sembilan, tetapi di Malaysia.