BANJIR KILAT KAMPUNG SUNGAI RAYA AKAN DITANGANI SEGERA

Isnin       17 September 2018       

17 sep 3-1.jpg
17 sep 3-2.jpg
17 sep 3-3.jpg
17 sep 3-4.jpg
17 sep 3-5.jpg

PORT DICKSON: Masalah ketiadaan sistem perparitan yang baik dikenal pasti menjadi punca utama banjir kilat kerap melanda di Kampung Sungai Raya, Linggi.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, perkara itu akan ditangani dengan sebaik mungkin dalam usaha memastikan kejadian berkenaan tidak berulang pada masa depan.

Beliau juga mengharapkan kerjasama syarikat Sime Darby Berhad yang juga merupakan pemilik ladang kelapa sawit terletak bersebelahan dengan kampung terbabit, untuk turut mengambil langkah membina sistem perparitan.

"Kawasan kampung ini memerlukan sistem saliran yang baik bagi mengatasi masalah banjir kilat.

"Saya mengharapkan pengurusan Sime Darby dapat bekerjasama membantu mengatasi masalah ini kerana air dari kawasan ladang berkenaan turut menyumbang kepada banjir kilat yang melanda kediaman penduduk.

"Kita akan cuba selesaikan seberapa segera masalah banjir di kampung ini," katanya selepas melakukan lawatan ke kampung berkenaan bagi melihat dari dekat masalah banjir yang kerap melanda susulan 57 individu daripada 12 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Balai Raya Kampung Sungai Raya.

Hadir sama isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan EXCO Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon.

Aminuddin turut menyampaikan kit banjir kepada keluarga yang terbabit.

Pelbagai agensi turut sama dalam lawatan berkenaan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Port Dickson, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta SWM Environment Sdn Bhd (SWM).