SIRKIT CABARAN GUNUNG BAKAL SEMARAKKAN LAGI PELANCONGAN NEGERI

Isnin       17 September 2018       

17 sep -2-1.jpg
17 sep -2-2.jpg
17 sep -2-3.jpg
17 sep -2-4.jpg
17 sep -2-5.jpg

KUALA PILAH: Kerajaan negeri merancang untuk menganjurkan Sirkit Cabaran Gunung Negeri Sembilan pada tahun hadapan, dalam usaha menyemarakkan lagi aktiviti Eko-Pelancongan, bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke negeri itu.

Menteri Besar Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, program terbesar itu akan membabitkan aktiviti menawan puncak gunung yang terdapat di beberapa daerah.

Katanya, antaranya Gunung Datuk di Rembau, Gunung Tampin di Tampin, Gunung Besar Hantu dan Gunung Berembun di Jelebu.

"Kita bercadang menarik seramai mungkin peserta termasuk dari luar negara menyertai sirkit ini. Program ini nanti diharap dapat mempromosikan secara lebih meluas produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.


"Saya yakin, menerusi penganjuran pelbagai aktiviti

bertaraf antarabangsa mampu mempromosikan lagi industri pelancongan Negeri Sembilan, malah penyertaan peserta luar negara itu dilihat sebagai suatu medium yang sangat efektif dalam menarik pelancong luar," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penutup Cabaran Gunung Angsi 2018 di Taman Rimba Ulu Bendol petang tadi.

Program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan itu disertai 600 peserta dari pelbagai kategori dan peringkat umur termasuk 20 peserta luar negara iaitu dari Nigeria, Australia, Sweden, Indonesia, Kenya, Filipina dan Thailand.

Aminuddin berpuas hati dengan penganjuran program berkenaan kerana dapat mempromosikan Gunung Angsi sebagai lokasi sukan pendakian terkenal sekali gus menjadikan aktiviti pelancongan negeri terus berkembang.

"Saya amat mengalu-alukan program seperti ini sebagai suatu mekanisme ke arah gaya hidup sihat.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada syarikat swasta yang sedia bekerjasama dan menaja program ini," katanya.