ANWAR KUNJUNGI PD JUMAAT INI

Rabu         17 Oktober 2018          

17 oct 5-1.jpg

PORT DICKSON: Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal menghadiri program rasmi pertamanya sebagai wakil rakyat, di sini, Jumaat ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, Anwar akan menghadiri tiga program pada hari berkenaan bermula jam 11 pagi.

Katanya, program pertama beliau adalah bertemu dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Mohd Zamri Mohd Esa dan Pegawai Daerah Port Dickson, Khairy Maamor serta pegawai-pegawai yang lain.


“Anwar kemudian akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Kampung Paya, disusuli kemudiannya menyerahkan sumbangan peribadi berupa mesin

hemodialisis di Hospital Port Dickson," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Insan Terbilang Negeri Sembilan 2018, petang tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik.

Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Sabtu lalu, selepas menewaskan enam calon lain termasuk bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad.