PEMBERIAN ANG POW SEMPENA DEEPAVALI PALSU

Rabu         17 Oktober 2018          

17 okt 1-1

PORT DICKSON: Tiada sebarang pemberian `Ang Pow Divali Pakatan Harapan (PH)' kepada masyarakat India di Negeri Sembilan sempena perayaan Depavali oleh kerajaan negeri ini.

Sebaliknya, isu pemberian berkenaan sebanyak RM200 yang tular di media sosial baru-baru ini adalah palsu.

Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun, menafikan kerajaan negeri memberikan bantuan kepada masyarakat India sempena Depavali di negeri ini.

“Pihak kami menafikan perkara ini, bagaimanapun kita ada inisiatif lain untuk menyalurkan sumbangan sempena Deepavali.

"Kita dengan kerjasama pimpinan Exco, wakil rakyat dan ahli majlis, sedang berusaha untuk mengadakan jualan tapak bazar Deepavali yang akan diadakan seminggu sebelum perayaan di Little India, Seremban.

“Hasil daripada keuntungan jualan itu nanti akan diberi sama rata kepada 61 sekolah Tamil negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Insan Terbilang Negeri Sembilan 2018, petang tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik.

Terdahulu beliau menyampaikan anugerah kepada warga pendidik dan pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang serta kemahiran dan aktiviti kokurikulum.

Dalam ucapannya, Aminuddin berharap kepada penerima terutama pelajar supaya dapat menjadikan anugerah berkenaan sebagai perangsang dan pembakar semangat untuk terus berusaha melonjakkan lagi kecemerlangan diri.

"Negara amat memerlukan generasi yang holistik dan seimbang serta berkeupayaan untuk mengangkat kecemerlangan negara.

"Sebagai pewaris kepemimpinan di masa depan, generasi muda perlu terus menguasai ilmu dan kemahiran untuk membantu memajukan lagi negara ini," katanya.