KUMPULAN MAG PENYEDIA 'TESTING & TUNING - MOTORBIKE DYNO'

Ahad, 17 November 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/4

SEREMBAN: MAG Technology and Trading Sdn Bhd (Kumpulan MAG) dilantik oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai penyedia latihan bagi Program 'Testing & Tuning - Motorbike Dyno'.

Program itu dijalankan di MAG Auto Garage, Senawang yang melibatkan 20 peserta bermula 14 Ogos lalu dan berakhir sehingga peserta ditawarkan pekerjaan.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Encik Zamani Baharom berkata, pihaknya ingin mewujudkan modal insan dari segi kemahiran kebolehpasaran tenaga kerja mahir.

"Boleh dikatakan (sekarang) berlaku revolusi industri automotif. Jadi, mereka (peserta) kebanyakan akan ketinggalan dari segi teknologi mesin itu sendiri. 
 

"Sebenarnya, (dalam) pembangunan modal insan tenaga kerja itu sendiri penting. Siapa yang akan kendali mesin jika tak ada tenaga mahir. Sebab itu kita nak mereka ambil kursus. 

"Insya-Allah, 24 November ini akan sampai satu mesin lagi. Kita ada cadangan untuk buka lagi (program) di Melaka dan Selangor.

"Melalui 'Smart Programme', kita buat satu perjanjian (tempoh dua tahun). Kita latih mereka hingga mahir, kemudian mereka kerja balik dengan kita. Tak semua orang boleh guna mesin itu kecuali mereka jalani latihan di sini," katanya.

Mengulas lanjut, Zamani berkata, Kumpulan MAG sentiasa menyokong objektif serta hala tuju kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); keusahawanan dan ekonomi bumiputera.