PROJEK TNB PATUHI LAPORAN EIA

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Ahad, 17 Mac 2019 

1/5

BATU KIKIR: Projek pembinaan jajaran Talian Penghantaran Elektrik TNB melalui bahagian tepi sempadan luar Hutan Simpan Gunung Tampin, adalah mematuhi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, laporan EIA berkenaan telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 4 April 2018 yang seterusnya meluluskan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) pada 2 Julai 2018.

Menurutnya, tujuan projek itu bagi menyambung bekalan elektrik yang dijana oleh Stesen Janakuasa Alor Gajah di Melaka ke Grid Nasional melalui Pencawang Masuk Utama Bahau South di Negeri Sembilan.

"Cadangan asal, (projek pembinaan jajaran) mula-mulanya merentasi di tengah-tengah Hutan Simpan. Tapi kita ubah sikit melalui sempadan, sebab tak mahu rosakkan hutan simpan.

"Kita juga nak pastikan kawasan tadahan air tak rosak. Sebab keadaan yang terlalu curam dan tinggi akan memusnahkan kawasan pemeliharaan (spesies endemik).

"Lagipun ambil kira kawasan (sekeliling) yang mempunyai kepentingan ekopelancongan kita antaranya kolam mandi Majlis (Daerah Tampin), hentian rehat dan perkampungan Orang Asli," katanya.

Mengulas lanjut berhubung projek jajaran sepanjang 7.64 kilometer berkenaan, kata Aminuddin, lebarnya pula 70 meter sahaja.

Justeru tindakan tegas bakal diambil terhadap kontraktor yang menjalankan kerja pembersihan di kawasan jajaran talian penghantaran elektrik terbabit, jika melebihi jarak ditetapkan.

"TNB dikehendaki bayar ganti rugi atas kehilangan kayu (balak) kita. Walaupun kita beri tanah ini kepada TNB, tapi hutan itu masih milik kerajaan," katanya.

Di samping itu katanya, pertemuan dan penyerahan saguhati dengan Orang Asli Kampung Ulu Kendong turut diadakan pada 20 September 2018.

"Kemudian ada taklimat kepada Adun Repah pada 4 Oktober 2018, disusuli taklimat kepada Adun Kota pada 9 Oktober 2018.

"18 Oktober 2018, taklimat seterusnya dibuat kepada pihak berkepentingan, wakil komuniti serta NGO iaitu PEKA dan TREES.

"Selain lawatan ke tapak projek bersama JKR dan NGO pada 23 Oktober 2018, Ahli Majlis Daerah Tampin turut diberi taklimat pada 30 Oktober 2018," katanya.

Ahli Majlis Daerah Tampin sekali lagi diberi penerangan pada 21 November 2018, namun katanya, kali ini bersama MPKK berkaitan.

"Taklimat melibatkan Ali Parlimen Tampin, MPKK Repah dan Sri Repah pula diadakan pada 17 Disember 2018.

"Kita harap tak ada masalah berlaku dalam kawasan penebangan dan ini telah dipersetujui bersama," katanya selepas menyempurnakan proses pengundian Rumah Mampu Milik Type A, Taman Zamrud, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap bantahan oleh pihak tertentu, membabitkan kerja pembersihan di sepanjang kawasan jajaran talian penghantaran elektrik berkenaan.