UNDI 18: TINDAKAN BERANI KERAJAAN

Rabu, 17 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/2

SEREMBAN: Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun disifatkan sebagai satu tindakan berani yang diambil oleh pihak kerajaan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah ini bagi memberi peluang kepada generasi muda mencorak masa depan negara.

"Penurunan had umur ini akan semarakkan lagi demokrasi, di samping peranan anak muda terus diperkasa.

"Beri peranan memimpin, boleh matangkan mereka. Jadi, kebergantungan kepada generasi umur 30an dan 40an dapat dikurangkan," katanya. 

Menurutnya, pendedahan di peringkat awal dapat menunjukkan peranan dan pengaruh yang lebih baik kepada masyarakat khususnya generasi muda.

"Banyak pemimpin muda hari ini memimpin dunia.

"Jadi tak mustahil pemimpin-pemimpin muda di Malaysia juga mampu mengetuai negara," katanya.

Tambah Aminuddin, pihaknya turut menyambut baik usaha mendaftarkan mereka yang mencecah umur 18 tahun sebagai pengundi secara automatik.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Semalam, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan oleh Dewan Rakyat bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa 30 Julai ini adalah cuti umum sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.