AMINUDDIN KESAL TINDAKAN 16 ADUN PEMBANGKANG KELUAR DEWAN

Oleh: Mohd Amin Jalil         Isnin, 17 Disember 2018 

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun kesal dengan tindakan 16 ADUN pembangkang yang bertindak keluar dewan ketika Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, tindakan ADUN pembangkang itu tidak wajar dan memperlihatkan mereka tidak peka dengan pendirian Kerajaan Persekutuan yang sudah membuat ketetapan berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


"Suatu ketika dulu kita pernah keluar dewan tetapi bukan ketika pembentangan bajet, sedangkan bajet ini sepatutnya didengar kerana rakyat mengharapkan komen atau teguran daripada ahli BN (pembangkang) sebagai

suatu badan yang memberi teguran kepada kerajaan.

 

"Ini (tindakan keluar dewan) menunjukkan gambaran yang kurang baik, kerana tindakan ahli BN itu bukan sahaja dilihat masyarakat Negeri Sembilan tetapi seluruh negara.

 

"Tindakan wakil pembangkang mengambarkan ketidakbijaksanaan mereka. Saya tidak menjangka perkara ini akan berlaku kerana isu ICERD sudah dibuat di peringkat persekutuan dan tidak seharusnya dipanjangkan," katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2019.

 

Tegas Aminuddin yang juga ADUN Sikamat, isu ICERD jelas menunjukkan bahawa kerajaan tiada agenda untuk mendiskriminasikan rakyat negara ini.

 

Beliau berkata, negara ini aman dan perlembagaan negara cukup jelas mengenai perkara itu dan ia tidak seharusnya diperbesarkan sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat.

 

"Kita harus sedar negara ini mempunyai perlembagaan yang cukup kuat untuk mempertahankan institusi raja dan agama serta bangsa Melayu, malah wakil rakyat bangsa lain sedar bahawa perkara ini perlu dipertahankan," katanya.

 

Terdahulu, Ketua Pembangkang yang juga ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan memohon pada sesi pertanyaan lisan untuk membawa usul supaya kerajaan negeri menyatakan pendirian terhadap ICERD. 

 

Bagaimanapun, usul tersebut ditolak Speaker, Tuan Haji Zulkefly Mohamad Omar dengan alasan perkara itu sudah diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati pembangkang sebelum mereka bertindak keluar dewan.

1/2