BELANJAWAN 2019 NEGERI SEMBILAN SEDIA PERUNTUKAN RM430 JUTA

Oleh: Mohd Amin Jalil         Isnin, 17 Disember 2018 

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan hari ini membentangkan belanjawan pertama secara berimbang dengan menjadikan program pembangunan sosio-ekonomi rakyat sebagai fokus utama, khususnya menambah baik dan memperkenalkan program baharu yang memberikan impak kepada rakyat.

Bertema ‘Memperkayakan Hasil, Memakmurkan Kekayaan’, Belanjawan Negeri Sembilan 2019 membabitkan peruntukan sebanyak RM430 juta, meningkat RM18 juta atau 4.37 peratus berbanding RM412 juta pada tahun 2018.


Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, belanjawan itu dirangka dengan mengambil kira persekitaran ekonomi dunia yang mencabar dan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi,

memperkasa daya saing negeri dan modal insan, serta pada masa sama memastikan kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan mendapat pembelaan.

Katanya, anggaran belanjawan mengurus 2019 meliputi emolumen sebanyak RM169.25 juta, perkhidmatan dan bekalan RM90.19 juta, perolehan aset RM3.38 juta, pemberian dan bayaran tetap RM160.13 serta perbelanjaan lain, RM7.05 juta.

“Bagi menjayakan agenda pembangunan, sebanyak RM116.9 juta diperuntukkan tahun depan, sekali gus menjadi peruntukan pembangunan terbesar dicatatkan dalam belanjawan di negeri ini dalam tempoh lima tahun.

"Ia meliputi pembangunan sosial sebanyak RM41.59 juta, infrastruktur RM23.01 juta, pertanian RM15.95 juta, pentadbiran RM17.01 juta, kerohanian RM10.94 juta dan pelancongan RM8.40 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2019 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini.

Bagi merealisasikan matlamat belanjawan itu, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat menggariskan empat strategi dan disusuli dengan 10 Pelan Tindakan diterajui oleh beberapa jabatan kerajaan negeri yang telah pun dikenal pasti.

Katanya, empat strategi itu adalah meningkatkan kecekapan tadbir urus, meneroka sumber hasil baharu, mengurangkan kehilangan hasil negeri dan meningkatkan keuntungan pelaburan.

"Kita yakin keempat-empat strategi ini mampu memberikan impak positif dalam usaha membangunkan negeri berteraskan dasar kerajaan negeri iaitu Bersih, Muafakat dan Sejahtera," katanya.

Aminuddin turut mengumumkan beberapa berita baik kepada rakyat Negeri Sembilan termasuk mengumumkan beberapa perkara baharu yang dirancang dalam memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya, antaranya pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kira-kira 5,000 kakitangan awam negeri.

Menurutnya, pembayaran bantuan khas itu akan dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada Januari dan sebelum Aidilfitri tahun depan.

Beliau yakin menerusi pemberian khas itu akan dapat menaikkan semangat kakitangan awam serta meningkatkan lagi tahap profesionalisme mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik sekali gus menyumbang kepada peningkatkan hasil negeri.

“Perkhidmatan awam adalah institusi penting yang mendukung setiap dasar yang digubal oleh kerajaan dan sebagai tulang belakang sesebuah kerajaan," katanya.

1/2