GRADUAN KV PERLU TERUSKAN KECEMERLANGAN

Ahad        16 September 2018       

16 sep 3-1.jpg
16 sep 3-2.jpg
16 sep 3-3.jpg
16 sep 3-4.jpg
16 sep 3-5.jpg

NILAI: Graduan Kolej Vokasional (KV) yang berjaya menerima diploma perlu meneruskan visi dan misi kecemerlangan pendidikan vokasional, di institusi-institusi mereka berada selepas tamat pengajian.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, kejayaan yang mereka capai setakat ini bukan suatu titik nokta sebaliknya anggaplah ia detik permulaan untuk mencapai kejayaan yang lebih baik pada masa depan.

"Jadikan kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk mencapai kejayaan lebih baik.

"Negara amat memerlukan generasi yang holistik dan seimbang, dengan menggunakan keupayaan, potensi ndan bakat diri, untuk mengangkat kecemerlangan negara.

"Maka harus diingat, persaingan di dunia realiti, para graduan harus bersaing secara sihat dan mempunyai kemahiran yang tinggi.

"Graduan perlu mengutamakan penggunaan daya intelek, tinggi daya fikir, bersikap ilmiah serta berupaya menghadapi apa jua situasi dan rintangan.

"Harapan negara kepada graduan ini amatlah tinggi, kerana kepada merekalah terletak tanggungjawab mengurus pembangunan negara pada masa hadapan," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Kali Ketiga 2018, Zon Tengah dan Selatan di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), petang ini.

Aminuddin berkata, pihaknya berpuas hati dengan pengiktirafan terhadap graduan ini yang menunjukkan peningkatan dalam pasaran kerja selepas menamatkan pengajian.

Katanya, data kebolehpasaran tahun 2016 telah mencapai 100 peratus dengan sebahagian besarnya ditawarkan pekerjaan semasa mengikut On Job Training (OJT).

"Hal ini menunjukkan bahawa, pihak industri telah mula mengiktiraf kemahiran-kemahiran yang dicapai oleh graduan KV.

"Kepada tenaga pengajar Kolej Vokasional, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah, kerana telah menabur bakti dalam mendidik dan mengasuh para graduan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, swasta dan agensi-agensi kerajaan, yang telah memberikan kerjasama kepada KPM dalam melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional, khususnya dalam memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan On Job Training (OJT)" katanya.

Seramai 647 graduan KV menerima diploma masing-masing.