TIADA PESTA ‘Oktoberfest’ DI NEGERI INI

Ahad        16 September 2018       

16 oct 4-1.jpg

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak membenarkan sebarang bentuk pesta arak atau ‘Oktoberfest’ dibuat di negeri ini.

Tegas Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun, pesta seperti itu tidak pernah dibuat di negeri ini dan ia bukan budaya masyarakat setempat.

"Justeru, kita melarang sama sekali bagi mana-mana pihak untuk mengadakan Oktoberfest di negeri ini kerana ia perbuatan yang tidak sihat untuk rakyat.

"Bagi kalangan bukan Islam yang ingin meminum arak ianya tiada halangan, namun perlu dilakukan di premis tertutup dan bukannya dilakukan dalam bentuk pesta atau secara terbuka.

"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang permohonan dan lesen dikeluarkan kepada mana-mana pihak. Kita berharap tiada pihak yang akan memohon lesen itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Apresiasi Sempena Sambutan Kemerdekaan 2018 di Klana Resort, petang tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malek.

Mengulas mengenai pengurniaan pingat dan darjah kebesaran pula, Aminuddin berkata, perkara itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk mengurniakannya kepada sesiapa yang baginda inginkan.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai hak untuk menentukan kepada sesiapa yang perlu dikurniakan pingat dan kebesaran.

"Memang setakat ini ada menerima permohonan daripada individu dan dari pihak-pihak yang mencalonkan bagi menerima pingat dan kebesaran, namun akhirnya ia terpulang pada baginda Tuanku untuk mengurniakannya," katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam kenyataan beliau baru-baru ini menjelaskan bahawa penerimaan sebarang gelaran dalam kalangan wakil rakyat parti itu bukan matlamat utama selepas dipilih sebagai kerajaan.

Kenyataan itu susulan dua wakil rakyat DAP Melaka iaitu Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Adun Bemban, Wong Fort Pin menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Sabtu lalu.